JOHOR BAHRU: Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya di Bandar Putra Kulai, tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 42 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai pekerja pendawaian didakwa menyentuh bahagian kemaluan mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun di sebuah rumah di Jalan Camar 9, Bandar Putra Kulai pada Jun 2020.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anaknya dengan menyuruh mangsa memegang kemaluan tertuduh di rumah sama pada Februari 2020.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selain penjara maksimum lima tahun dan maksimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Khairul Azwad Sariman.
Terdahulu, Lydia tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh berikutan kesalahan jenayah kes kanak-kanak tidak membenarkan jaminan diberi.
Khairul Azwad pula tidak membuat sebarang rayuan jaminan sebaliknya meminta satu tarikh lain untuk membuat hujahan jaminan kes.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 25 April ini. -UTUSAN ONLINE