PADA Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei 2018, Johor menyaksikan beberapa pemimpinnya di peringkat Persekutuan termasuk seorang menteri dan lima timbalan menteri ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) tewas di kerusi parlimen masing-masing.
Kekalahan paling mengejutkan sudah pasti melibatkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang juga ketika itu Presiden MIC di kerusi Parlimen Segamat yang tewas dengan majoriti 5,476 undi.
Turut mengalami kekalahan adalah bekas Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Hamim Samuri di Parlimen Ledang diikuti Datuk Seri Razali Ibrahim di Muar yang ketika itu Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.
Malah, situasi sama turut melibatkan kerusi Parlimen Sri Gading dan Pulai apabila kedua-dua Ahli Parlimennya iaitu Datuk Ab. Aziz Kaprawi dan Datuk Nur Jazlan Mohamed tewas kepada lawan masing-masing meskipun mereka adalah Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong juga menerima nasib sama selepas beliau yang merupakan Timbalan Menteri Kewangan tewas kepada lawan dengan majoriti 3,408 undi.
Subramaniam yang kini berusia 68 tahun mungkin dilihat tidak lagi akan mempertahankan kerusi Segamat yang dimenanginya sejak 2004 selepas pernah mengeluarkan kenyataan berundur daripada arena politik selain tidak bertanding pada pemilihan MIC yang lalu.
Bagaimanapun, lima bekas timbalan menteri termasuk tiga daripadanya Ketua UMNO Bahagian dan Ketua MCA Bahagian berkemungkinan mengambil langkah berbeza untuk membuat penampilan semula pada PRU-15 yang akan diadakan sebaik sahaja Covid-19 terkawal seperti kata Perdana Menteri.
Jika di atas kertas keputusan PRU-14 lalu menjadi sandaran, hanya kerusi Parlimen Sri Gading menampakkan peluang cerah untuk dirampas semula daripada pembangkang seandainya Pas, UMNO dan Bersatu bersetuju tiada tiga penjuru melibatkan mereka.
Ini kerana, Ab. Aziz yang tewas dengan majoriti 3,288 mempunyai 4,548 undi Pas untuk kembali bergelar ‘Yang Berhormat’ tetapi cakap-cakap sekarang beliau yang melepaskan jawatan selaku Ketua UMNO bahagian itu mungkin berdepan laluan berliku untuk dicalonkan semula.
Bagi kerusi Parlimen Pulai, Nur Jazlan yang mendapat 26,523 undi ketika itu berdepan sedikit kesukaran kerana majoriti besar kemenangan bekas Menteri Pertanian, Datuk Seri Salahuddin Ayob yang menerima 55,457 undi masih sukar ditampung dengan 4,332 undi Pas.
Situasi sama juga terpaksa dihadapi Razali dan Hamim meskipun majoriti tewas mereka tidak terlalu besar tetapi campuran undi-undi Pas belum cukup untuk memberi kemenangan semula, kecuali undi Bersatu turut memihak kepada mereka jika kesepakatan telah dicapai soal calon kelak.
Sementara Tee Yong yang menyambung kerusi itu sejak 2008 daripada bapanya, Tan Sri Dr. Chua Soi Lek perlu mengembalikan keyakinan pengundi kepada MCA selepas beliau meraih 13,301 undi pada PRU-14 dengan 2,020 undi lagi kepada Pas berbanding lawan mereka dari DAP yang mendapat 16,709.
Namun, faktor perubahan bilangan pengundi berdaftar termasuk yang telah meninggal dunia serta pengundi baharu mungkin memberi gambaran berbeza bagi setiap Parlimen tersebut serta kawasan-kawasan lain pada pilihan raya kali ini.
Tetapi, apa yang penting gerak kerja mereka harus bermula dari sekarang untuk mendekati pengundi meskipun berdepan sedikit kesukaran ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan selain ‘gencatan politik’ bagi memberi ruang kepada kawalan penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE