PONTIAN: Kerajaan negeri akan menyampaikan insentif kepada penggiat pelancongan di negeri ini berjumlah RM1.4 juta bagi membolehkan mereka bangkit dan menyusun semula aktiviti pelancongan masing-masing.
Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, insentif itu adalah susulan Belanjawan 2021 yang memperuntukan RM14 juta kepada Tourism Johor bagi melaksanakan beberapa inisiatif memacu dan merancakkan sektor pelancongan pasca Covid-19.
Katanya, daripada jumlah tersebut, RM5 juta adalah bagi meningkatkan prasarana dan kemudahan pelancongan yang perlu dibaik pulih atau dinaik taraf, manakala RM5 juta lagi untuk penggiat pelancongan Johor.
Menurut beliau, seramai 840 pemandu pelancong menerima insentif sebanyak RM1,000, RM2,000 bagi agensi dan syarikat pelancongan, manakala 16 persatuan pelancongan menerima RM20,000.
“Untuk bangkit dan menyusun semula aktiviti pelancongan, penggiat pelancongan diminta menggunakan kreativiti masing-masing termasuk penggunaan kaedah digital untuk memasarkan produk masing-masing.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kami sentiasa bersedia membantu bagi memastikan kehadiran pelancong terutama pelancongan domestik dapat ditingkatkan ke setiap daerah di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Bantuan Inisiatif ‘One-Off’ kepada penggiat industri pelancongan negeri Johor dan pelancaran ‘ Yok Round Johor’ di rumah Citra Sri Pinang, Benut, di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE