ARAU : Perikatan Nasional (PN) antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas terus diperkasakan menerusi pembentukan Badan Perhubungan PN negeri.
Seramai 14 ahli jawatan kuasa Badan Perhubungan PN Perlis telah dilantik dengan jawatan Pengerusi PN negeri disandang oleh Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli.
Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah pula dipilih sebagai Naib Pengerusi 1, manakala Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis, Ruselee Eizan sebagai Naib Pengerusi 2.
Setiausaha Bersatu negeri, Izizam Ibrahim pula dilantik sebagai Bendahari PN Perlis manakala Baharuddin Ahmad dari Pas memegang jawatan Setiausaha PN negeri.
Selain itu, Ketua Pemuda PN disandang oleh Muhammad Azmir Azizan dari Pas dan wanita PN negeri pula diketuai oleh Azura Adnan.
Di samping itu, ahli jawatan kuasa PN negeri pula masing-masing tiga dari Pas dan Bersatu
iaitu Mohd Ridzuan Hashim; Saad Seman dan Wan Hassan Ismail manakala wakil dari Bersatu pula terdiri daripada Ameir Hassan; Azahar Hassan dan Aedams Mohd Reffal.
Mohd. Shukri berkata, lantikan secara rasmi jawatan kuasa tersebut ialah pada 5 Mac lalu selepas mendapat pengesahan dari Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa lawatan kerja beliau ke negeri ini.
“Dengan terbentuknya jawatan kuasa ini, pelbagai program dan aktiviti dapat dirancang dengan lebih teratur dan PN terus diperkasakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE