PETALING JAYA: Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali ‘dicabar’ bertanding di kerusi Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Dalam sebuah sesi wawancara bersama MMTV, Ketua Bahagian UMNO Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, beliau yakin pengundi kawasan tersebut akan memilih pemimpin mereka dengan bijak dan berhati-hati pada PRU-15 nanti.
“Memang patutnya Azmin kekal untuk bertanding di Gombak, saya sudah kata tiada sesiapa boleh menghalang beliau kerana saya yakin dan saya percaya Azmin akan pertahankan kerusi Parlimen Gombak.
“Saya tidak percaya jika orang kata beliau akan bertanding di kawasan lain seperti Kuala Langat dan sebagainya. Itu tidak mungkin sama sekali, saya percaya beliau akan bertanding di Gombak namun perkara ini tidak menghalang Barisan Nasional (BN) untuk menamakan calon,” katanya dalam sesi temubual itu.
Megat Zulkarnain juga berkata, pemilihan pemimpin itu haruslah diserahkan hak kepada pengundi Gombak sendiri walaupun pertandingan tersebut berkemungkinan melibatkan tiga penjuru.
Disember lalu, terdapat pengundi di kawasan Gombak yang memfailkan saman terhadap Azmin atas dakwaan melanggar kewajiban fidusiari melalui ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020.
Menurut Megat Zulkarnain, tindakan pemimpin mengkhianati mandat rakyat akan menjadi punca rakyat lebih berhati-hati dalam memilih semasa pilihan raya.
“Pengundi menjalankan tanggungjawab seperti beratur panjang di bawah panas matahari supaya dapat memilih pemimpin yang mereka Yakini. Bayangkan apa perasaan mereka apabila melihat individu yang mendapat kepercayaan itu, keluar daripada kepercayaan.
“Apa pun alasan yang diberikan, maklumat -maklumat kini di hujung jari sahaja maka pengundi-pengundi ini tahu punca sebenar ‘penghijrahan’ yang dikatakan itu. Pengundi Gombak maklum dan sedar dengan pengkhianatan yang berlaku,”katanya.
Pada PRU-14 yang lalu, Azmin telah meraih kemenangan dengan jumlah undi sebanyak 75,113 mengalahkan lawannya daripada BN dan Pas yang masing-masing peroleh sebanyak 26,392 dan 17,537 undi. -UTUSAN ONLINE