Audit gagal buktikan NFC beli hartanah guna pinjaman - Utusan Malaysia

Audit gagal buktikan NFC beli hartanah guna pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan penilaian audit ke atas National Feedlot Corp. Sdn. Bhd. (NFCorp) oleh firma yang dilantik pihak kerajaan, Price Waterhouse Malaysia (PwC) gagal dalam membuktikan sumber dana firma ternakan lembu itu untuk pembelian hartanah adalah dari sumber wang pinjaman kerajaan.

Peguam, Datuk K. Kirubakaran yang mewakili NFCorp dan 10 yang lain berkata, keterangan saksi juga mengesahkan sebenarnya PwC dalam laporan penilaian audit gagal menunjukkan kaitan langsung antara wang pinjaman dari kerajaan dengan wang pembelian hartanah yang digunakan NFCorp untuk kepentingan peribadi dan keluarga bekas Pengerusi National Feedlot Corp (NFC) , Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail dan bukannya untuk kepentingan dan urusan perniagaan NFCorp.

Selain itu, katanya, laporan audit ke atas NFCorp itu juga gagal mengambil kira klausa-klausa penting dalam perjanjian pelaksanaan mengenai Program Pembangunan Usahawan (EDP) dan obligasi Kerajaan Malaysia untuk penyediaan dan penyempurnaan Export Quality Abattoir (EQA).

“PwC dalam penyediaan laporan penilaian audit tersebut telah gagal meneliti pelan produksi yang dinyatakan dalam Jadual 9 Perjanjian Pelaksanaan adalah sebenarnya bergantung kepada Program EDP yang hanya akan dilaksanakan apabila EQA disiap sedia oleh pihak kerajaan,” kata peguam tersebut dalam kenyataan semalam.

NFCorp kini berdepan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan tindakan kerajaan untuk mendapatkan perakuan dari pihak mahkamah bagi mendapatkan semula pinjaman RM250 juta oleh Kementerian Kewangan bagi menjayakan projek ternakan lembu oleh NFCorp.

Mengulas lanjut, Kirubakaran menambah, bagi dakwaan penyalahgunaan wang pinjaman yang dinyatakan dalam laporan penilaian auditnya, PwC tidak mendalami dan memeriksa akaun, invois dan dokumen-dokumen lain NFCorp secara teliti.

Justeru, katanya, adalah tidak tepat dalam menyatakan NFCorp telah secara salah menggunakan wang pinjaman tersebut untuk kepentingan peribadi dan keluarga Salleh.

Ini disokong oleh keterangan yang diberikan oleh pengarah PwC Malaysia, Lim San Peen.

Menurut beliau, semasa Lim disoal oleh peguam defendan-defendan, Lim memberi keterangan bahawa dia hanya membuat dan menyediakan laporan penilaian audit tersebut berdasarkan dokumen-dokumen yang dibekalkan oleh pihak kerajaan dan beliau tidak meneliti dokumen-dokumen seperti invois NFCorp secara mendalam.

Katanya, Andrew Heng, dari firma Ferrier Hodgson MH (FHMH) turut memberi keterangan bahawa NFCorp, memperoleh nilai pusingan perniagaan yang tinggi dan telah menjana keuntungan selain daripada jumlah pinjaman yang dikeluarkan dari Akaun Pinjaman Khas (SLA).

FHMH adalah firma audit yang dilantik oleh pihak NFCorp untuk menjalankan pemeriksaan dan penilaian ke atas laporan audit yang dibuat PwC.

“Andrew turut menjelaskan bahawa laporan penilaian audit oleh PwC itu adalah tidak menyeluruh, komprehensif dan selamat untuk dijadikan sandaran dalam penilaian kerajaan dan mahkamah.

“Andrew menjelaskan bahawa NFCorp telah menyerahkan SOP kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk Program EDP malah tiada apa-apa maklum balas yang diberikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, jelasnya, Andrew memberi keterangan bahawa penilaiannya mendapati NFC tidak dapat mencapai sasaran operasi kerana kerajaan tidak membina EQA seperti mana yang diperlukan.

Dan selanjutnya, ujar beliau, kerajaan menamatkan projek tersebut pada tahun 2009 yang sepatutnya bernilai RM95 juta jika terus berjalan seperti dirancang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya