Asyraf Wajdi didesak mohon maaf kepada Pas - Utusan Malaysia

Asyraf Wajdi didesak mohon maaf kepada Pas

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dituntut memohon maaf kepada Pas kerana melanggar keputusan dibuat secara bersama Pas-UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) bahawa tidak akan menggores hati parti dalam pakatan MN.

Ahli Pas, Ahmad Fahmi Mokhtar berkata, Ketua Pemuda UMNO itu telah memungkiri ucapan sendiri untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggores hati kedua-dua parti sebagaimana dinyatakan dalam Facebook beliau pada 12 Mac lalu.

Namun katanya, tidak sampai 10 hari, beliau mengeluarkan kata-kata bertentangan dengan pendirian itu di hadapan Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu.

“Sebagai ahli Pas, kita merasakan kita perlu berhati-hati dengan mereka yang mungkir kata-kata sendiri dan juga tidak mengikut keputusan mesyuarat.

“Kalau langgar ucapan sendiri okey lagi, ini sudah langgar keputusan mesyuarat. Dari situ kita boleh lihat beliau tiada disiplin organisasi yang baik,” katanya dalam kenyataan.

Dalam hantaran Facebook Asyraf Wajdi, beliau menulis tentang hasil Mesyuarat Jawatankuasa Induk Perundingan MN UMNO-Pas dua hari sebelumnya yang berbunyi:

“Kepimpinan tertinggi parti kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggores perasaan masing-masing. Juga tidak melayani sebarang unsur provokasi yang boleh merenggangkan hubungan kedua-dua parti yang terjalin.”

Malangnya, dalam ucapan beliau pada majlis 500 jam Sanitasi Awam Pemuda UMNO Terengganu, Asyraf Wajdi mengeluarkan kata-kata menggores perasaan Pas.

Memetik ucapan berkenaan:

“Kalau betul dia nak berhadapan dengan peperangan sebenar yang selalu Datuk Seri Dr. Ahmad Said sebutkan dalam Biro Politik dan sampaikan secara jelas kepada barisan kepimpinan UMNO Pusat bahawa UMNO Terengganu kalau dibunyikan semboyan dan dipalu gendang perang kalau ditakdirkan kita terpaksa masuk dalam gelanggang, dalam keadaan kita sebagai Barisan Nasional (BN) dan melawan Pas sebagai kerajaan negeri, UMNO Terengganu sudah bersiap siaga.

“Jadilah negeri yang pertama yang masuk gelanggang dengan penuh semangat dan insya-Allah tatkala kita mendengar keputusan PRU-15 nanti Terengganu akan kembali kepada UMNO dengan semangat yang ada dalam kalangan pejuang-pejuang muda di Terengganu.”

Ahmad Fahmi berkata, bagi membersihkan nama baik beliau dan organisasi yang dipimpin, Asyraf Wajdi didesak menarik balik ucapan tersebut selaras dengan keputusan MN dan membuat permohonan maaf kepada Pas.

“Seminggu sahaja, Ketua Pemuda UMNO telah memungkiri apa yang beliau nyatakan dalam Facebooknya. Bahkan lebih teruk beliau telah melanggar keputusan yang dibuat secara bersama Pas-UMNO dalam MN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya