GEORGETOWN: Sebanyak 50 mililiter asid akrilik tumpah di atas lantai dalam sebuah makmal di Pusat Pengajian Sains Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini petang tadi.
Bagaimanapun kejadian yang berlaku pukul 3 petang itu tidak membabitkan sebarang kecederaan mangsa mahupun kemalangan jiwa.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 3.28 petang.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, satu bekas mengandungi asid akrilik tertumpah di atas lantai terbabit dan operasi tersebut turut mendapat bantuan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat).
“Tindakan anggota adalah dengan membuat pengungsian pada bangunan makmal berkenaan dan kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan mengumpulkan sisa-sisa bahan tersebut.
“Bahan itu seterusnya dimasukkan ke dalam sebuah bekas khas dan kawasan yang tercemar dibersihkan menggunakan ‘Soda Ash’ dan melakukan pengudaraan,” katanya di sini.
Beliau memberitahu, operasi tamat sepenuhnya pukul 5 petang.