Arahan bekerja dari rumah kekal - Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Arahan bekerja dari rumah kekal – Ismail Sabri

Arahan Bekerja Dari Rumah boleh mengurangkan kepadatan ruang kerja di pejabat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pekerja yang diarahkan majikan untuk kembali bertugas di pejabat boleh membuat aduan kerana setakat ini belum ada lagi arahan pembatalan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini belum ada aduan yang diterima oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung perkara itu.

“Begitu juga, kerajaan tidak terima sebarang laporan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai menjawab soalan media mengenai ada majikan sektor swasta dan awam mengarahkan pekerja mereka kembali bertugas di pejabat seperti biasa.

Ia susulan kebenaran untuk merentas daerah dalam negeri yang sama serta pengumuman tiada lagi negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai esok.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sehingga kini belum ada perubahan dasar mengenai BDR yang dilaksanakan sejak tahun lalu bagi membendung kluster Covid-19 di tempat kerja.

“Insya Allah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bincang semula sama ada terdapat keperluan untuk diteruskan polisi BDR atau kena balik kerja di pejabat macam biasa,” tambahnya.

Ditanya kebenaran untuk merentas dari zon hijau ke zon hijau di negeri yang dikenakan PKP Pemulihan (PKP), beliau berkata, perkara tersebut sedang dipertimbangkan oleh MKN.

Bagaimanapun ujarnya, ketika ini isu itu agar sukar diberi kebenaran kerana bimbang ada individu cuba ambil kesempatan merentas negeri dengan mendakwa kononnya dari zon hijau.

Malah Ismail Sabri menambah, ada cadangan supaya individu dari zon hijau boleh merentas ke zon hijau lain dengan syarat tidak singgah untuk berehat di mana-mana lokasi zon merah.

“Misalnya dari Putrajaya ke Melaka, pemandu itu tidak boleh berhenti pun di Negeri Sembilan, tetapi masalahnya mungkin ada cuba menipu apabila ditahan di sekatan jalan raya,” katanya.

Mengenai soalan pelajar sekolah dikompaun RM1,000, beliau berkata, langkah itu tertakluk kepada budi bicara pihak polis sebelum dikenakan saman itu.

Justeru kata beliau, individu terlibat boleh berbincang terlebih dahulu dengan polis sebelum tindakan kompaun dibuat dan mengambil kira situasi kesalahan di lokasi kejadian berkenaan.

MKN ujar beliau, pada dasarnya tidak akan campur tangan dalam isu itu, bahkan terpulang kepada pihak polis sama ada mahu membebaskan atau sekadar diberi amaran atau dikompaun.

“Sesiapa yang didapati langgar prosedur operasi standard, akan diambil tindakan dan polis tidak membezakan individu itu walaupun dia mungkin agak dikenali ramai,” tegas Ismail Sabri.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya