APM Pasir Mas bantu 1,668 penduduk daftar imunisasi Covid-19 - Utusan Malaysia

APM Pasir Mas bantu 1,668 penduduk daftar imunisasi Covid-19

SUKARELAWAN APM Pasir Mas(kanan) membantu proses pendaftaran suntikan vaksin dalam kalangan penduduk di sekitar Pasir Mas.-IHSAN APM Pasir Mas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pasir Mas berjaya membantu 1,668 penduduk di sekitar jajahan ini mendaftar di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Pegawai APM daerah, Kapten (PA) Mohd. Arif Mohd. Zain berkata, inisiatif itu bermula sejak 14 Mac lalu memandangkan ada anggota masyarakat di kampung-kampung tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Tujuan kita untuk pastikan orang ramai khususnya golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar tidak tercicir,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Arif memberitahu, seramai 120 sukarelawan APM telah digerakkan untuk menjayakan program pendaftaran tersebut.

Katanya, selain itu, sesi penerangan berkaitan dengan vaksin turut diberikan bagi memastikan penduduk memahami tujuan sebenar kerajaan.

“Selain Pasir Mas, penugasan ini turut merangkumi kawasan di Rantau Panjang.

“Besar hasrat kami agar tahap pemahaman terhadap pengambilan vaksin ini tinggi dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN