GEORGETOWN: Sebuah unit kediaman tanpa penghuni di aras 10, Apartment Serina Bay, Hilir Sungai Pinang, Jelutong di sini hangus dalam kejadian kebakaran, pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu berlaku apabila penghuni-penghuni blok berkenaan dikejutkan dengan jeritan jiran berhampiran.
Difahamkan, kediaman berkenaan ditinggalkan kosong oleh pemilik kediaman selepas penyewanya terdiri sekumpulan warga asing telah berpindah sejak beberapa bulan lalu.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba Penyelamat Jalan Perak, Israhanafi Ismail ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 6.14 pagi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran berlaku melibatkan sebuah kediaman jenis Kelas A yang di dalamnya masih terdapat beberapa kelengkapan perabot yang ditinggalkan penghuni.
“Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah sebanyak 80 peratus dan kebakaran itu dapat dikawal pada pukul 6.33 pagi.
“Kerja-kerja pemadaman dan pengawalan sedang dilakukan dan tiada mangsa yang dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.
Beliau memberitahu, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pasukan Forensik Bomba. – UTUSAN ONLINE