Anwar, pembangkang diharap hadir taklimat PICK - Utusan Malaysia

Anwar, pembangkang diharap hadir taklimat PICK

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa persoalan berhubung Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah banyak kali diperjelaskan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, persoalan pertama berkaitan pendaftaran vaksinasi yang tidak lengkap oleh sebanyak 1.4 juta pengguna yang mana p telah dinyatakan dalam sidang akhbar tengah hari semalam, malah khidmat pesanan ringkas (SMS) akan dihantar kepada pengguna untuk meminta agar melangkapkan penilaian vaksinasi.

Katanya, ia bagi membolehkan maklumat temujanji diberikan kepada mereka.

“Berkenaan pendaftaran berkali-kali pula, seperti mana yang saya telah nyatakan, MySejahtera sememangnya mempunyai rekod ketika pendaftaran vaksinasi ketika kali pertama dibuat. Justeru pengguna sebenarnya tidak perlu membuat pendaftaran berulang. Ini terbukti apabila ‘user interface’ baharu yang dikeluarkan pada Sabtu lalu telah menunjukkan tarikh pengguna membuat pendaftaran pada kali pertama.

“Bagi program-program kesedaran bagi melawan kumpulan anti-vaksin serta memberi keyakinan kepada orang ramai, ini sememangnya telah banyak kali dilakukan bukan sahaja oleh saya malah juga banyak pihak lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui media massa, media cetak mahupun media sosial.

“Malah program bantuan outreach juga pada ketika ini sedang berjalan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata, persoalan perolehan vaksin pula, kerajaan masih terikat dengan ‘non-disclosure agreement’ yang dimeterai bersama syarikat pengeluar vaksin namun, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta dirinya pada 5 Januari lalu telahpun membentangkan maklumat serta perincian lanjut berkenaan perkara ini kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen Malaysia.

Katanya, butiran serta kertas perjanjian juga telah ditunjukkan kepada PAC malah menerusi kenyataan Pengerusinya yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor dari DAP menyatakan bahawa PAC berpuas hati dengan pembentangan dan tatacara perolehahan vaksin Covid-19 serta terdapat juga wakil PKR dalam PAC.

“Andaian Anwar bahawa kerajaan tidak memberi perhatian terhadap vaksin daripada negara Rusia iaitu Sputnik V adalah tidak benar memandangkan vaksin itu sememangnya terdapat di dalam potfolio pembelian vaksin Covid-19 negara sedangkan ia sedang dalam penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan kelulusan dan pendaftaran.

“Bagi persoalan berkenaan penglibatan penyelidik tempatan dalam pembangunan vaksin, suka saya maklumkan bahawa MOSTI telah membiayai penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin tempatan bagi Covid-19 menerusi Dana Memerangi Covid-19 MOSTI (MCCOF) kepada dua kumpulan penyelidik iaitu dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” katanya.

Beliau berkata, namun pihaknya mengaku bahawa Malaysia tidak mempunyai fasiliti lengkap pembuatan vaksin maka dalam rundingan pembelian vaksin dengan beberapa pembekal, kerajaan telah memasukkan elemen nilai tambah bagi membolehkan Malaysia membangunkan kapasiti pembangunan vaksin dalam negara pada masa hadapan.

Katanya, maklumat berkenaan nilai tambah ini dimuatkan dalam buku panduan PICK yang boleh dimuat turun di laman sesawang www.vaksincovid.gov.my.

“Malah, maklumat lanjut berkenaan PICK akan saya bentangkan di dalam sesi taklimat kepada Ahli Parlimen yang akan diadakan tidak lama lagi di mana surat jemputan kepada Ahli Parlimen juga telahpun dihantar.

“Saya berharap Ketua Pembangkang serta Ahli Parlimen pembangkang yang lain dapat hadir ketika sesi taklimat itu nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya