PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dukungannya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam usaha membanteras sebarang elemen jenayah di negara ini.
Anwar berkata, beliau amat bersetuju dengan ketegasan Abdul Hamid berkaitan soal integriti, kebebasan, kewibawaan dan keupayaan pasukan polis.
Katanya, sejak kebelakangan ini berita mengenai Abdul Hamid dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan isu kartel telah mendapat perhatian umum.
“Sehubungan itu, saya telah mengutus surat bagi menyatakan dukungan kepada beliau dalam usaha membanteras sebarang elemen jenayah di negara ini. PDRM adalah pasukan amat penting dalam mana-mana sistem masyarakat dan penanda aras keamanan dan kestabilan negara.
“Saya amat bersetuju dengan penegasan yang dibuat beliau terkait integriti, kebebasan, kewibawaan dan keupayaan pasukan polis. Saya mendoakan agar beliau dapat melaksanakan amanah dan menempuh cabaran getir saat ini dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hamid sebelum ini mendedahkan kewujudan gerakan dalaman membabitkan pegawai muda PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.
Menurutnya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.
Beliau memberi jaminan isu kartel polis yang didakwa mahu menjatuhkannya ‘terkawal’ dan dapat ditangani pasukan itu.
Abdul Hamid, 62, dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.