Annamah wanita tertua di Malaysia pada usia 110 tahun - Utusan Malaysia

Annamah wanita tertua di Malaysia pada usia 110 tahun

ANNAMAH menunjukkan isyarat bagus selepas menerima sijil pengiktirafan sebagai wanita tertua di Malaysia oleh MBOR pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-110 di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: “Walaupun ibu saya berusia lebih 100 tahun, ingatannya masih kuat dan dia boleh mengenali sesetengah wanita yang pernah mendapatkan khidmatnya semasa menjadi bidan.”

Itu kata M. Subramanian, 73, iaitu anak lelaki kepada wanita tertua di Malaysia ketika ini, A. Annamah, 110.

Subramanian berkata, meskipun daya ingatan ibunya masih tinggi, tahap pendengaran serta penglihatan wanita itu pula semakin berkurangan ketika ini.

“Lima atau enam tahun lepas dia masih boleh berjalan sendiri ke mana-mana, boleh cuci kain sendiri dan sebagainya.

“Tapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia lebih banyak duduk di atas kerusi roda sahaja,” kata Subramanian.

Terdahulu, Malaysia Book of Records (MBOR) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasinya, Christopher Wong hadir meraikan sambutan ulang tahun ke-110 wanita itu, di sini hari ini.

Wong turut menyampaikan sijil pengiktirafan kepada Annamah kerana mempertahankan rekodnya sebagai wanita tertua di Malaysia sejak tahun lepas.

Mengulas lanjut mengenai petua kesihatan yang diamalkan ibunya, kata Subramanian, wanita itu menjaga pemakanan termasuk sering memakan herba selain kerap berpuasa sejak usianya masih muda.

“Dulu, seminggu sekali ibu puasa terutama hari Isnin. Dia juga tidak pernah duduk diam semasa kami tinggal di estet dulu.

“Balik kerja dia akan pergi tanam sayur, bela ayam dan sebagainya,” kata Subramanian yang turut memberitahu, ibunya dilahirkan serta dibesarkan di India sebelum berhijrah ke Malaysia bersama keluarga ketika remaja.

Selain mempunyai lima orang anak dengan dua daripadanya masih hidup termasuk Subramanian, Annamah juga merupakan nenek kepada 17 orang cucu serta moyang kepada tujuh orang cicit. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya