KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anina Saadudin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, dia telah memadam hantaran di laman Facebooknya yang didakwa memfitnah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Anina, 46, yang hadir di mahkamah hari ini tanpa diwakili peguam memaklumkan hantaran tersebut telah dipadam dalam tempoh 24 jam selepas menerima tuntutan saman oleh Ahli Parlimen Bera itu melalui serahan tangan.
Anina selaku defendan dalam tuntutan saman itu turut menyatakan tiada bantahan terhadap perintah injunksi sementara sebelah pihak (ex-parte) yang diperoleh oleh Menteri Pertahanan itu agar dia memadam 13 hantaran dalam laman sosial tersebut.
Sehubungan itu, menurut defendan, dia bersedia membela dirinya dalam tuntutan saman tersebut dan telah memfailkan kehadiran dan pernyataan pembelaannya semalam.
Sementara itu, peguam Ragunath Kesavan yang mewakili Ismail Sabri mengesahkan hantaran yang didakwa memfitnah anak guamnya telah dipadam.
Ujarnya, oleh kerana defendan tidak mengemukakan permohonan untuk mengetepikan perintah ex-parte itu, tarikh perbicaraan perlu ditetapkan.
Terdahulu, Hakim Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril meminta kepastian daripada Anina sama ada dia akan melantik peguam mewakilinya pada perbicaraan kelak.
Bagaimanapun, bekas Ketua Srikandi Bersatu itu memaklumkan bahawa dia hanya seorang suri rumah dan tidak mampu melantik peguam selain menyatakan malu untuk menggunakan khidmat peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan tuntutan saman itu didengar pada 1 Oktober ini manakala kenyataan saksi difailkan selewat-lewatnya dua minggu sebelum itu. Pengurusaan kes pula pada 21 Jun ini.
Mohd. Firuz turut menetapkan agar sebarang isu yang akan dibangkitkan ketika perbicaraan perlu difailkan pada 17 Ogos manakala ikatan autoriti difailkan pada 19 Julai.
Pada 5 Mac lalu, Ismail Sabri memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya dengan menamakan Anina sebagai defendan tunggal.
Menurut pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Anina telah menerbitkan 13 hantaran berbaur fitnah di Facebooknya di antara 5 Februari hingga 3 Mac lalu yang didakwa bukan satu kritikan berkaitan dengan polisi kerajaan atas tugas rasminya sebagai Menteri Pertahanan.
Sebaliknya, hantaran-hantaran tersebut didakwa merupakan serangan peribadi dan disiarkan dengan niat jahat serta bertujuan merosakkan reputasi dan imej beliau.
Sehubungan itu, plaintif menuntut satu perintah agar defendan memadam kesemua hantaran berbaur fitnah itu di Facebooknya dan menunjukkan kepada mahkamah dalam tempoh 24 jam bahawa dia telah bertindak demikian. – UTUSAN ONLINE