KUALA LANGAT: Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) maut dalam satu kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 36 Jalan Klang-Banting-Port Dickson tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mangsa, Nor Hezlina Nazrib, 19, yang diheret sejauh 50 meter itu maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azizan Tukiman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa sedang menunggang motosikal dari Banting menghala ke Morib, namun dilanggar sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki dari arah belakang.
“Pemandu lelaki berusia 19 tahun itu juga melanggar sebuah lagi kereta jenis Proton Satria yang berada di sebelahnya sebelum melanggar dua lagi kenderaan yang datang dari arah bertentangan.
“Kemalangan tersebut mengakibatkan mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, siasatan awal mendapati dua daripada pemandu kereta itu tidak mempunyai lesen.
“Malah, ketika kejadian juga, keadaan jalan yang lurus ini mempunyai permukaan yang rata dan cuaca dalam keadaan baik serta tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Kita juga telah memanggil saksi bebas yang melihat kejadian untuk dirakam percakapan dan sampel darah lelaki yang melanggar mangsa telah diambil untuk dianalisis di Jabatan Kimia,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE