PUTRAJAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara konsisten menyatakan tidak menolak kerjasama parti itu dengan UMNO kononnya bagi memperlihatkan adanya dalam kalangan pemimpin UMNO turut bersama serta menyuarakan sokongan terhadapnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, apa yang dilakukan Anwar diibaratkan seperti peribahasa Melayu ‘angan-angan menerawang langit’.
Sedangkan, katanya, masalah dalaman partinya sendiri masih tidak dapat diatasi, apatah lagi ramai ‘nama besar’ dalam PKR angkat kaki meninggalkan beliau keseorangan dengan ‘angan-angan Mat Jenin’.
“Lihat sahajalah barisan kepimpinan PKR 2018-2021, selain Anwar siapakah yang anda lihat masih berada dalam posisi jawatan kanan dalam kepimpinan parti itu?
“Semuanya sudah kosong dan lari meninggalkan PKR kerana semuanya sudah nampak dan sedar diperalatkan hanya untuk memenuhi kerakusan Anwar menjawat jawatan Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia semalam, Anwar mengakui wujudnya perbincangan dengan UMNO untuk bekerjasama pada PRU-15.
Anwar turut memberi jaminan akan membuat penjelasan kepada anggota PKR untuk mengelakkan masalah yang mungkin timbul dalam rancangan kerjasama dengan UMNO.
Dalam pada itu, Mohd. Hairi mempersoalkan apakah tindakan Anwar bagi mengukuhkan parti beliau sejak beliau keluar dari penjara ketika Pakatan Harapan (PH) menang menjadi kerajaan sebelum ini sehinggalah bertanding dan menang sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.
Beliau berkata, tiada apa Ketua Pembangkang itu lakukan melainkan merosakkan PKR itu sendiri selain sibuk mengenai hal ‘rumah tangga’ orang lain.
Katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yakin, bukan sahaja ahli akar umbi, malah rakyat sendiri dapat berfikir dan menilai kelayakan Anwar selepas apa yang berlaku.
“Sudah-sudahlah menggunakan alasan mahu bekerjasama dengan UMNO, nasihat kami kepada Anwar untuk pandang sejenak ke cermin. Perbetul dan kuatkanlah semula parti anda yang retak menanti belah itu, barulah bercerita soal hendak ambil alih kerajaan atau hendak jadi Perdana Menteri.
“Rakyat sendiri sudah muak dengan permainan dibawa Anwar yang ‘bijak’ memanipulasi situasi dan tutur kata tatkala terdesak meraih sokongan. Itu sahajalah yang mampu dibuat kerana sehingga hari ini ayat keramat ‘I have number’ menjadi kata nista dan bahan jenaka netizen serta rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE