KUALA SELANGOR: Hasil analisis semua sampel telur keluaran sebuah syarikat di Jeram di sini, yang dikaitkan dengan bakteria Salmonella enteriditis (SE) akan diperoleh dalam tempoh terdekat.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, penelitian dan pengesahan lanjut masih dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).
“Keputusan itu belum diperoleh setakat ini dan mereka (JPV) memerlukan beberapa hari lagi untuk mengesahkannya.
“Kita menjangkakan hasil analisis penuh telur itu akan selesai dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan outlet Anjung Coconut Shake 336 di Bestari Jaya di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif 336 Brand Sdn. Bhd, Muhammad Farhan Alias.
Media sebelum ini melaporkan JPV mengarahkan supaya telur keluaran salah satu daripada 10 buah ladang milik Lay Hong Bhd. (Lay Hong) iaitu ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperoleh.
JPV turut tidak membenarkan kemasukan semula telur CES 008 ke Malaysia berikutan pengesanan kehadiran bakteria SE pada konsainan telur eksport daripada ladang terbabit.
Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 364 sampel telur ayam sudah dianalisis dan hanya dua daripada sampel itu mengandungi SE setakat ini.
Sebelum ini, Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik daripada pasaran telur yang dihasilkan dari sebuah syarikat di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.
Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman web mereka menyatakan arahan itu dibuat berikutan penemuan SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.
Mengulas lanjut, kata Hasnol, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan JPV untuk menjalankan ujian secara berkala kepada bekalan telur tempatan. – UTUSAN ONLINE