Anak muda miliki hak memilih, memimpin - Utusan Malaysia

Anak muda miliki hak memilih, memimpin

HUZAIMI IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan harus berani melakukan perubahan dengan memberikan mandat kepada anak muda seawal usia 18 tahun menjadi pengundi pilihan raya.

Timbalan Pengerusi Tetap Pemuda UMNO Kuantan, Huzaimi Ibrahim berkata, sejarah peradaban dunia membuktikan bahawa anak muda memiliki hak untuk memilih bahkan boleh menjadi pemimpin.

“Kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim undi 18 tahun ini tidak praktikal diadakan ketika ini, mengapa tidak praktikal?

“Undi 18 tahun adalah satu perubahan besar dalam sejarah negara kita. Amerika Syarikat (AS) dan Jerman negara yang lebih awal memberikan hak mengundi kepada anak muda berumur 18 tahun. Di Indonesia pula seawal 17 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Para 16 Julai 2019, Dewan Rakyat yang ketika itu dipengerusi oleh Tan Sri Mohamad Arif Md. Yusof meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dari 21 tahun ke 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Pengundi 18 tahun adalah cetusan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertujuan meningkatkan pendidikan politik dalam kalangan anak muda sekali gus menyaksikan landskap politik negara ke arah pro anak muda.

Ketika ini, Parlimen belum bersidang sehingga 1 Ogos walaupun Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Parlimen boleh bersidang semasa darurat pada suatu tarikh yang dirasakan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Huzaimi berkata, anak muda wajib diberi hak dan kepercayaan menentukan masa depan mereka.

Golongan muda, katanya, adalah generasi dan pewaris pimpinan negara pada masa hadapan dan mereka perlu diberi peluang dengan memilih kerajaan mempunyai idea serta dasar terbaik untuk negara.

“Kerajaan harus berani melakukan perubahan. Mungkin ada segelintir daripada kita tidak yakin dengan perubahan ini, tetapi ingatlah bahawa Sultan Muhammad Al Fateh menakluk kota Konstantinople pada usia 21 tahun, Lawrence Bragg menang hadiah fizik pada usia 25 tahun.

“Maka usia muda bukanlah penghalang. Saya berharap agar kerajaan tetap melaksanakan undi 18 tahun untuk pilihan raya yang akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya