Amirudin bincang pendaftaran vaksin warga emas esok - Utusan Malaysia

Amirudin bincang pendaftaran vaksin warga emas esok

AMIRUDIN (kanan) sedang melakukan gimik perasmian dengan menjadi Barista di Kafe Gloria Jeans di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam Selangor hari ini. UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan membincangkan kaedah pendaftaran untuk pemberian vaksin untuk warga emas bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin esok.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan itu akan dilakukan di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK).

Menurut Amirudin, pendaftaran untuk PICK dalam kalangan rakyat Selangor masih rendah iaitu antara 1.3 hingga 1.4 juta orang sahaja dan langkah terbaik perlu dicari untuk mempertingkatkannya.

“Esok, saya akan ada mengadakan mesyuarat bersama beliau (Khairy). Kerajaan negeri mempunyai perancangan menggerakkan jentera pentadbiran untuk mendaftarkan warga kita untuk program imunisasi.

“Ini kerana jumlahnya yang mendaftar untuk imunisasi agak kecil. Selangor ada 6.4 juta rakyat, warga asing berdaftar 400,000 jika dicampur tidak berdaftar seperti pembantu rumah mungkin 700,000 orang,”katanya.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas kaedah terbaik untuk mendaftarkan warga emas dan warga Selangor untuk PICK agar tiada sesiapa yang tercicir.

Terdahulu, Amirudin merasmikan Kafe Gloria Jeans di Bangunan SUK di sini hari ini.

Menurut Amirudin, pihaknya bukan sahaja mendaftarkan warga emas dari rumah ke rumah malahan akan membuka kaunter di pasar-pasar malam di serata negeri bagi memudahkan urusan pendaftaran PICK.

“Buat masa ini, bukan isu pendaftaran tetapi apa yang penting kita ingin memastikan kumpulan yang ingin disasarkan adalah kumpulan yang tepat.

“Selain mendaftarkan warga Selangor untuk menerima vaksin, kita juga perlu mengambil langkah untuk mempromosi PICK supaya rakyat segera mendaftar,”katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN