Alasan SPR tangguh Undi18, pendaftaran automatik tak munasabah - Utusan Malaysia

Alasan SPR tangguh Undi18, pendaftaran automatik tak munasabah

KHAIRY JAMALUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: ‘Mengecewakan, tidak boleh diterima sama sekali’.

Demikian tegas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan pelaksanaan undi 18 (Undi18) dan pendaftaran automatik.

Khairy berkata, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga adalah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan PKP telah dilaksanakan lebih setahun lalu.

Ahli Parlimen Rembau itu memberitahu, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai ini bagi pelaksanaannya.

Namun katanya, tidak sampai lima bulan selepas jawapan di Dewan Rakyat itu dikeluarkan, SPR secara tidak semena-mena mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun iaitu September 2022 berbanding Julai 2021.

“Kenyataan terbaharu SPR ini jelas sekali bercanggah dengan kenyataan Pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu yang menyatakan persiapan bagi pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik termasuk pindaan kepada undang-undang serta peraturan pilihan raya sedia ada serta penyediaan sistem dan infrastruktur akan diselesaikan selewat-lewatnya Julai ini.

“Harus diingatkan, kenyataan SPR pada tahun lalu ini hanyalah ulangan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk V.K Liew pada Oktober 2019 yang menetapkan sasaran yang sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairy berkata, kenyataan SPR berkenaan gerak kerja bagi tujuan libat urus bersama parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga menimbulkan tanda tanya dan perlu memberikan penjelasan lanjut berkenaan program tersebut.

Katanya, ini memandangkan proses itu bukan lagi perkara berbangkit kerana Undi18 telah dipersetujui di peringkat tertinggi proses membuat undang-undang iaitu Parlimen.

“Proses libat urus juga sepatutnya boleh berlangsung sepanjang masa tanpa sedikit pun perlu menjejaskan tempoh masa yang telah diumumkan sebelum ini.

“Penurunan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukanlah hasrat kerajaan terdahulu semata-mata malah ia mendapat persetujuan kesemua parti politik.

“Ini termasuklah menerusi ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan dua pertiga majoriti dewan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya