Aktiviti pengimarahan masjid dibenarkan sepanjang PKPB di Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Aktiviti pengimarahan masjid dibenarkan sepanjang PKPB di Pulau Pinang 

AKTIVITI pengimarahan di masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang kini dibenarkan selari dengan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok. -UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAINPP) membenarkan aktiviti pengimarahan masjid dengan pematuhan prosedur operasi (SOP) ditetapkan. 

Menurut Pengarah JAINPP,  Mohd. Zakuan Zakaria, aktiviti pengimarahan yang boleh diadakan adalah majlis ilmu seperti kuliah subuh, kuliah Dhuha, kuliah maghrib dan kelas pengajian aI-Quran. 

Selain itu, katanya, majlis akad nikah, bantuan kebajikan dan khidmat nasihat juga boleh diadakan di kawasan masjid atau surau. 

“Bagaimanapun, tenaga pengajar hendaklah terdiri daripada pemegang tauliah mengajar agama yang sah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang  (MAINPP) dan bermastautin di Pulau Pinang sahaja. 

“Oleh itu, tenaga pengajar yang merentas sempadan negeri untuk tujuan tersebut adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya di sini hari ini. 

Empat negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang yang sebelum ini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan akan ditukar status kepada PKPB bermula 5 Mac ini. 

Mohd. Zakuan berkata, aktiviti yang hendak dilaksanakan pula hendaklah di bawah penganjuran masjid dan surau. 

“Program kerjasama dengan pihak luar yang dibenarkan tertakluk kepada pengawalan dan penyeliaan bagi memastikan tahap pematuhan terhadap garis panduan adalah optimum. 

“Selain itu, jumlah bilangan peserta adalah terhad mengikut keluasan ruang masjid mengambil kira keperluan penjarakan fizikal sekurang kurangnya satu meter dan kemampuan pihak pengurusan masjid dan surau, serta tempoh masa maksimum ialah empat  jam sahaja,” katanya. 

Tambahnya, aktiviti jamuan di masjid dan surau secara buffet atau layan diri dibenarkan dengan kawalan kendiri. 

“Bagi aktiviti ekonomi seperti pasar tani di pekarangan masjid yang berkenaan adalah dibenarkan tertakluk kepada Garis Panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya. 

Dalam pada itu tambah beliau, bagi aktiviti sosial seperti majlis perkahwinan di perkarangan masjid yang berkenaan adalah tertakluk kepada (SOP) yang ditetapkan oleh MKN.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN