PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia bersedia meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dalam usaha memerangi penyebaran berita palsu dalam masyarakat.
Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, akta yang sudah berusia 23 tahun itu agak ketinggalan zaman kerana diwujudkan pada era ledakan media tidak begitu meluas.
“Kami memang ada merancang meminda akta itu sebab ketika diwartakan pada 1998 menggantikan Akta Penyiaran 1988, berita palsu belum lagi ada seperti sekarang,” katanya dalam sidang akhbar khas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, di sini hari ini.
Ia diadakan bagi mengumumkan penguatkuasaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 bermula hari ini bagi membendung berita palsu Covid-19 dan proklamasi darurat.
Yang hadir sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Fadhlullah Suhaimi Abd. Malek.
Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin berkata, selama ini kerajaan hanya membuat penafian dan penjelasan terhadap ratusan berita palsu terutama isu penularan pandemik berbahaya tersebut.
“Akta ini ada banyak kekangan dan kelemahan kerana ia digubal pada zaman yang kerajaan waktu itu belum tahu lagi betapa pantasnya berita palsu tular disebarkan warganet,” katanya.
Namun, keperluan pindaan tersebut semakin perlu dilaksanakan setelah negara berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada 18 Mac tahun lalu di seluruh negara.
Ketika itu, masyarakat mula mengambil kesempatan berkongsi segala maklumat tidak sahih berkaitan Covid-19 hingga mencetuskan kebimbangan dan menjejaskan ketenteraman awam.
Menurutnya, beliau kemudian bertindak menubuhkan Pasukan Respons Pantas (PRP) sebagai sekretariat bagi menangkis berita palsu tetapi tetap berleluasa dengan serius.
“Setakat ini, PRP sudah buat 347 pemakluman bagi perbetul laporan fitnah netizen, namun ia masih aktif waima ada didapati bersalah setelah kes didakwa di mahkamah,” katanya.
Sehingga hari ini, sebanyak 287 kertas siasatan dibuka oleh polis dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19 dan daripada jumlah ini, 113 masih dalam siasatan.
Sebanyak 51 kes didakwa di mahkamah, 30 didapati bersalah, 20 dalam proses perbicaraan dan 12 diberikan notis amaran. Tindakan penguatkuasaan aktif juga dijalankan berdasarkan laporan awam diterima.
Justeru ujarnya, sebagai ‘remedi’ jangka masa pendek, ordinan darurat diwartakan sementara waktu dan ia turut meliputi sebarang berita yang tidak benar mengenai proklamasi darurat.
Penguatkuasaan, tambah beliau, dipertanggungjawabkan kepada pegawai polis dan pegawai SKMM dengan prosedur di mahkamah masih kekal di bawah Kanun Tatacara Jenayah.
Ordinan itu juga, tegasnya, tidak sesekali mengganggu atau menjejaskan kuasa kehakiman kerana mahkamah masih perlu memutuskan kes berdasarkan nilai keterangan dikemukakan.
Katanya, bagaimanapun pelaksanaan ordinan itu adalah usaha pencegahan awal bagi memastikan rakyat mendapat sumber berita sahih sekali gus mengekalkan keamanan negara.
“Kita berharap usaha ini mengurangkan penularan maklumat tidak benar berpotensi menimbulkan ketakutan dan rakyat lebih bertanggungjawab berkongsi cerita tepat,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE