IPOH: Peranan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah memperkemas dan memperkasa fungsi agensi tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut diambil setelah melihat situasi semasa bagi memastikan penugasan kawalan di sempadan diperbaiki.
Menurut beliau, Aksem akan diletakkan di bawah PDRM di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA).
“Untuk itu, jawatan Pengarah JKDNKA dinaikkan satu gred lebih tinggi bagi menyesuaikan jabatan ini diperintah pegawai yang lebih kanan.
“Ini adalah penyusuan semula agensi tersebut tanpa melakukan perubahan besar setelah melihat keadaan semasa untuk disesuaikan dengan penugasan sedia ada,” katanya semasa berucap pada Program Prihatin Malaysia di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE