Akibat tamak, pengguna jadi mangsa pencemaran - Utusan Malaysia

Akibat tamak, pengguna jadi mangsa pencemaran

LONGKANG yang menjadi tempat pengeluaran bahan kimia terlarang termasuk sisa efluen di kawasan perindustrian di Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengeluarkan sebanyak 246 kompaun bernilai kira-kira RM492,000 kepada pemilik premis atau kilang berlesen di negeri ini sejak dua tahun lalu kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard ditetapkannya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, jabatan itu juga membuka kertas siasatan terhadap 34 premis untuk diambil tindakan bagi tempoh sama.

“Daripada jumlah ini, kira-kira 20 peratus atau tujuh premis melakukan kesalahan sama lebih daripada dua kali,” katanya di sini semalam.

Menurut Nor Aziah berkata, daripada sebanyak 12,764 kilang berdaftar dengan JAS, kesalahan yang dikesan bukan sahaja melibatkan aktiviti membabitkan pembuangan sisa efluen malah sebahagian daripadanya kilang kering yang menghasilkan sisa pembuangan udara dan berjadual.

“Bagi yang menjalankan aktiviti membabitkan pembuangan sisa efluen, sebanyak 918 kilang berdaftar dengan JAS.

“Statistik menunjukkan kilang makanan dan minuman paling tinggi iaitu 544 diikuti kilang berasaskan getah 292 dan kilang sadur elektrik 82,” ujarnya.

Tambahnya, sikap sesetengah pemilik premis yang sewenang-wenangnya membuang sisa efluen tanpa dirawat hanya menyebabkan pengguna menanggung gangguan bekalan air.

“Sikap tamak yang hanya mementingkan diri dan memikirkan keuntungan dalam perniagaan tanpa menghiraukan orang lain mengakibatkan masyarakat terpaksa menanggung akibatnya.

“Tindakan mereka hanya menyebabkan pencemaran dan penutupan loji rawatan air dan mengganggu bekalan air selain mengakibatkan sungai menjadi tercemar dan kotor serta hidupan akuatik terancam,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN