PETALING JAYA : Lebih 65 peratus akar umbi yang mengusulkan penolakan kerjasama politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat menjadi penanda aras usul tersebut dimuktamadkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dibuktikan apabila 124 bahagian UMNO seluruh negara mengemukakan usul menolak kerjasama dengan Bersatu ketika mesyuarat bahagian seluruh negara awal Januari lalu.
Katanya, seramai 143 daripada 191 ketua bahagian juga enggan bekerjasama dan ia adalah hasil dapatan daripada tinjauan dilakukan menerusi WhatsApp Ketua Bahagian UMNO.
“Jika dikira daripada angka-angka ini, lebih suara atau 65 peratus perwakilan khususnya akar umbi UMNO secara jelas menolak kerjasama dengan Bersatu.
“Sama ada dimuktamadkan atau sebaliknya kena tunggu hari terakhir perhimpunan nanti, tetapi sekiranya dilihat percaturan jumlah berkenaan sudah jelas ada lebih suara bersetuju,” katanya.
PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bakal menghangatkan suhu politik negara ekoran percaturan politik UMNO berhubung masa depannya dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Isu hubungan UMNO dan Bersatu serta PN kembali hangat selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan kebersamaan parti itu dengan Bersatu dan PN hanya diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.
Langkah itu menyebabkan beberapa pemimpin UMNO termasuk bergelar menteri dan ahli Parlimen tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menafikan dakwaan ucapan perbahasan perwakilan ditapis dan mengarahkan mereka menyampaikan berdasarkan teks yang disediakan.
Katanya, parti hanya menyediakan garis panduan agar perbahasan disampaikan tidak menyentuh sensitiviti agama, kaum dan berbaur hasutan.
“Tidak, tidak (menapis perbahasan), UMNO merupakan sebuah demokrasi yang membenarkan kebebasan bersuara tidak seperti parti lain. Namun sebaliknya jangan melampau sehingga menimbulkan ketegangan agama dan kaum,” jelasnya.