ALOR SETAR: Sumber air bukit yang kering menjadi punca 700 rumah di Kampung Bukit Sebelah, Kampung Tanjung Pari dan beberapa kawasan di Baling berdepan masalah bekalan air.
Syarikat Air Darul Aman (SADA) dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua rumah itu sememangnya tidak memiliki akaun SADA dan menggunakan air bukit yang turut dikenali sebagai ‘air masyarakat’.
Katanya, bagi mereka yang memiliki akaun SADA, secara amnya bekalan semasa masih terkawal dengan penduduk mendapat bekalan baik kecuali kawasan di penghujung sistem paip dan kawasan tinggi.
“Rekod menunjukkan jumlah akaun terganggu pada waktu normal di kawasan itu hanya 62 akaun. Namun buat masa sekarang, ada tambahan 25 lagi akaun yang mengalami masalah akibat musim kemarau.
“Pihak SADA telah mengambil tindakan segera menghantar bekalan melalui lori tangki apabila menerima aduan ke kawasan terlibat.
“Keutamaan adalah kepada rumah yang memiliki akaun SADA, namun kami turut menghantar bekalan air terawat ini ke kawasan yang menggunakan ‘air masyarakat’,” katanya.
Utusan Malaysia pada 15 Mac lalu melaporkan, kira-kira 15,000 penduduk melibatkan kira-kira 20 kampung di daerah ini tidak mendapat bekalan air bersih sejak 10 tahun lalu hingga terpaksa bergantung kepada beberapa sumber alternatif seperti air bukit, sungai dan perigi untuk kegunaan harian.
Selain berdepan masalah tekanan rendah, penduduk turut mendakwa mereka tidak mampu menanggung kos pemasangan paip yang tinggi.
Katanya, pihak SADA telah mengenal pasti dan mengesyorkan 700 buah rumah itu dimasukkan ke dalam senarai pembinaan pemasangan paip melalui bekalan paip alternatif di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Bagi rancangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah di situ, projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau akan dilaksanakan pada tahun ini dan dijangka siap 2023.
“Projek naik taraf itu akan melibatkan pertambahan kapasiti daripada 18 juta liter sehari (MLD) kepada 40 MLD,” katanya.