Ahli UMNO Balik Pulau dipancing Bersatu? - Utusan Malaysia

Ahli UMNO Balik Pulau dipancing Bersatu?

SHAH HEADAN AYOOB SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: UMNO Bahagian Balik Pulau mendakwa wujud gerakan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memancing ahli UMNO bahagian berkenaan secara tersembunyi sejak beberapa bulan lalu.

Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, Datuk Shah Headan Ayoob Shah berkata, walaupun gerakan itu dilakukan secara tersembunyi namun perkara berkenaan tetap tersebar apabila ahli-ahli UMNO di cawangan Balik Pulau berang dengan tindakan anggota Bersatu itu.

“Bersatu gores hati kita apabila mereka mahu pancing ahli UMNO dengan pelbagai cara, ada yang tawarkan bantuan tetapi minta ahli kita isi borang Bersatu.

“Ada pula di antara mereka jumpa ketua cawangan kita diam-diam, minta anjurkan program atas nama Bersatu, perkara ini kita tahu juga akhirnya selepas ahli UMNO mengadu pada kita,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Balik Pulau di sini hari ini.

Sebelum ini, UMNO bertindak memutuskan hubungan dengan Bersatu menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dan hanya bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Menurut Shah Headan, ahli-ahli UMNO di 50 cawangan parti itu di Balik Pulau tidak dapat menerima tindakan Bersatu yang cuba memancing rakan-rakan mereka.

“Ahli kita susah senang bersama sejak dahulu, jadi mereka tidak senang dengan cara Bersatu,” katanya.

Shah Headan berkata, UMNO Balik Pulau pada masa ini hanya menumpukan perhatian untuk mengukuhkan ikatan antara Pas melalui Muafakat Nasional (MN) seperti mana yang diputuskan oleh pucuk pimpinan sebelum ini.

Sementara itu beliau berkata, UMNO Bahagian Balik Pulau juga bersedia untuk berdepan dengan saingan tiga penjuru pada PRU-15 serta yakin akan kembali memenangi kerusi Parlimen serta tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya