JOHOR BAHRU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Johor menolak dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan PN sedang bergelut untuk ‘membeli dan mengugut’ mana-mana ahli Parlimen sebelum persidangan Parlimen diadakan.
Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, sebaliknya tindakan ahli Parlimen pembangkang yang ‘melompat’ adalah disebabkan ketelusan pentadbiran PN yang menerajui negara ketika ini.
Menurut beliau, ketelusan pentadbiran dan kurang bermain politik dilihat sebagai faktor utama yang menarik sokongan wakil rakyat daripada pembangkang.
“Saya tidak melihat itu (bertukar sokongan) sebagai satu isu besar, beli ke tidak beli, itu bukan kenyataan daripada pihak kami. Tetapi yang saya rasa lebih ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang melihat kerajaan PN sebagai kerajaan yang lebih telus.
“Jadi, kita serahkan kepada mereka untuk menilai kerajaan yang ada sekarang. Kerajaan ini kurang berpolitik dan lebih fokus kepada isu dan permasalahan rakyat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan penghargaan kepada petugas barisan hadapan Sempena Ulang Tahun Pertama PN Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon.
Beberapa hari lalu, dua Ahli Parlimen PKR iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon menyatakan sokongan kepada kerajaan PN sekali gus meninggalkan PKR.
Perkara itu disahkan sendiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui laman Facebook miliknya yang memaklumkan telah menerima akuan bersumpah daripada dua Ahli Parlimen berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada akan terdapat wakil rakyat daripada pembangkang lain yang akan mengambil tindakan sama, Dr. Sahruddin hanya menjawab beliau tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu. -UTUSAN ONLINE