PETALING JAYA : Para pemimpin politik termasuk ahli Parlimen dicadang menjalani program Latihan Budi seperti diwajibkan ke atas penjawat awam di Institut Tadbiran Awam Negara Negara (Intan).
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, hal ini kerana ketika ini tiada sebarang latihan formaL dibuat terhadap para pemimpin politik.
“Latihan ini perlu kerana asuhan budi dalam kalangan pemimpin politik sudah terhakis sehingga mereka gagal menampilkan sikap berbudaya tinggi yang sepatutnya dijadikan contoh tauladan kepada rakyat.
“Sebaliknya pemimpin politik bebas berucap menggunakan bahasa kasar, isyarat lucah serta terbabit dalam salah guna kuasa,” katanya semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Parlimen di Dewan Bankuet Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Yang hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Ketua Pentadbir Parlimen, Nor Yahati Awang.
Dalam pada itu, Rais berkata, sistem pentadbiran Parlimen perlu dilihat semula oleh kerajaan termasuk berhubung soal perjawatan bagi memastikan institusi berkenaan benar-benar berfungsi sebagai badan legislatif yang berwibawa dan berpengaruh.
Katanya, Parlimen adalah badan legislatif tertinggi negara dan harus berada pada hierarki negara dalam sistem pengasingan kuasa seperti mana amalan demokrasi di Amerika Syarikat, Perancis dan England. – UTUSAN ONLINE