Ahli majlis PBT perlu ada asas perundangan - Utusan Malaysia

Ahli majlis PBT perlu ada asas perundangan

HASNI Mohammad menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Program Executive Talk Perundangan Perancangan (AKta) Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172) Bersama Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Peringkat Negeri Johor diHotel Fraser Place Puteri Harbour disini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ahli majlis yang dilantik di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu memiliki asas perundangan dalam memastikan setiap perancangan dan dasar mereka berada pada landasan yang tepat.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, justeru, ahli majlis perlu menyiapkan diri dengan pengetahuan dan kefahaman berkaitan tugasan daripada aspek perundangan.

Menurut beliau, hal itu supaya sebarang keputusan yang dibuat mereka mempunyai asas yang kuat.

“Bagi memandu pembangunan Johor yang lebih mapan, peranan dan tanggungjawab sebenar ahli majlis perlu dipertingkat. Hal ini kerana mereka diibaratkan sebagai pembawa inspirasi rakyat atau orang tengah kerajaan negeri dalam pentadbiran PBT.

“Sehubungan itu, asas perundangan yang kukuh perlu ada bagi memastikan setiap perancangan dan dasar ditetapkan berada pada landasan yang betul,” katanya ketika berucap pada Program Executive Talk Perundangan Perancangan Bersama Ahli Majlis PBT Peringkat Johor, di sini, hari ini.

Hasni berkata, seiring dengan perubahan tampuk kepimpinan di peringkat negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah melantik seramai 207 Ahli Majlis secara berfasa pada 15 April dan 23 September 2020 di semua peringkat PBT.

Jelasnya, ahli majlis merupakan sebahagian daripada sistem pentadbiran di peringkat tempatan dan tindakan mereka tidak boleh bercanggah dengan dasar yang diputuskan PBT untuk kepentingan awam.

“Mereka juga antara lain adalah penasihat PBT mengikut profesion atau kepakaran masing-masing dan merupakan wakil yang menjadi penghubung antara masyarakat setempat.

“Peranan mereka penting dalam menyalurkan aduan, pandangan serta maklum balas berkaitan perkhidmatan yang disediakan PBT,” katanya.

Sementara itu, ahli majlis juga ujar Hasni, berperanan membantu menyelesaikan masalah setempat dan menentukan perkhidmatan asas yang disediakan berkualiti selain turut terlibat sebagai penggubal dasar PBT selari dengan dasar di peringkat Persekutuan dan negeri yang mampu memenuhi kehendak rakyat.

Kata beliau, ahli majlis juga bertindak sebagai jurucakap bagi PBT untuk memastikan dasar PBT difahami dan diterima masyarakat setempat.

“Mereka juga perlu bertanggungjawab sebagai penyemak pelaksanaan dasar, sama ada tindakan yang dilaksanakan mengikut lunas yang dibenarkan undang-undang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN