Agong bangga dengan kejayaan wira badminton - Utusan Malaysia

Agong bangga dengan kejayaan wira badminton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada wira badminton negara Lee Zii Jia di atas kejayaan beliau merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Seluruh England pada 21 Mac baru-baru ini.

Dalam catatan Facebook Istana Negara, baginda menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan Zii Jia yang sekali gus menjulang dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Sesungguhnya, kejayaan beliau pasti menggembirakan seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda.

Dalam kesempatan itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia di bawah teraju Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan barisan kejurulatihan atas kejayaan Zii Jia.

Tuanku turut menzahirkan harapan semoga kejayaan ini menjadi suntikan semangat kepada Lee Zii Jia untuk berlatih lebih keras untuk menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.

Al-Sultan Abdullah telah mengucapkan selamat maju jaya kepada Lee Zii Jia, semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama negara di persada dunia.

Baginda juga berharap agar kejayaan beliau ini juga menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing.

Terdahulu, Zii Jia yang merupakan pemain perseorangan lelaki negara berjaya merangkul gelaran juara kejohanan badminton All England buat pertama kali selepas menewaskan jaguh dari Denmark, Viktor Axelsen. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN