Agih12 tan makanan guna helikopter bomba - Utusan Malaysia

Agih12 tan makanan guna helikopter bomba

DUA helikopter Unit Udara JBPM digunakan untuk menghantar bekalan makanan di pos pedalaman Orang Asli, Gua Musang, Kelantan, hari ini. -UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Dua helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digunakan bagi menghantar 12 tan makanan di enam penempatan Orang Asli di daerah ini, selama tiga hari bermula hari ini.

Pengarah Unit Udara JBPM, Nazili Mahmood berkata, bekalan dalam bentuk bakul makanan tersebut merupakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).

Katanya, penghantaran itu membabitkan dua helikopter jenis Agusta Westland 189 (AW189) dan Agusta 109E (A109E) dari Pangkalan Udara Subang, Selangor bermula pukul 2 petang ini.

“Penerima bakul makanan ini terdiri daripada 1,195 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli yang terkesan akibat kemiskinan dan pandemik Covid-19.

“Enam pos penempatan terlibat ialah Pos Hau, Pos Belatim, Pos Gob, Pos Bihai, Pos Simpor dan Pos Balar,” katanya kepada pemberita ketika meninjau misi tersebut di perkarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, hari ini.

Hadir sama Pengarah Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan/Terengganu, Shafie Abas dan Pegawai Kanan Dakwah Maik, Siti Farahida Fauzi.

Sementara itu, Siti Farahida berkata, secara keseluruhan Maik menyediakan bantuan bakul makanan bernilai RM250,000 kepada 4,350 KIR Orang Asli di seluruh negeri ini melalui Program Bantuan Prihatin Maik.

Katanya, sebelum ini 2, 908 KIR di 11 buah pos telah menerima bakul makanan yang diagihkan Maik melalui jalan darat.

“Bakul makanan ini mengandungi barang-barang seperti beras, gula, tepung gandum, sardin dan serbuk teh.

“Kita berharap keluarga Orang Asli dapat memanfaatkan sumbangan makanan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN