KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mendedahkan terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama harumanis pada mangga lain yang dijual bagi mengelirukan pengguna.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi FAMA, Mohamad Mustahapa Awang berkata, pihaknya ada menerima laporan berlakunya penipuan yang mana pembeli menerima mempelam lain yang bukan jenis harumanis dari Perlis pada musim lalu.
Sehubungan itu tegasnya, FAMA akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi mengekang penipuan membabitkan penjualan mempelam harumanis Perlis itu termasuk secara dalam talian.
Jelas beliau, pihaknya bersama KPDNHEP akan melakukan pemantauan terhadap penjualan harumanis yang bermula pada bulan depan.
“Ada yang berlaku disebabkan kekeliruan apabila peniaga menggunakan perkataan harumanis pada buah mangga lain yang dijual dan sebagai contoh harumanis Kemboja dari Thailand,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutup Kursus Pengendalian Kualiti dan Gred Mangga Harumanis di FAMA Perlis di sini hari ini.
Tambah Mohamad Mustahapa, para peniaga yang didapati menipu atau mengelirukan pengguna boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Pengguna.
“FAMA juga boleh mengambil tindakan kepada pihak tidak bertanggungjawab itu di bawah Peraturan Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan FAMA 2008,” katanya.
Beliau menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati jika mahu membeli buah berkenaan dengan memastikan ia benar-benar harumanis Perlis.