KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan, terdapat pihak yang menghasut ahli-ahlibagi menolak keputusan parti berhubung isu kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bercakap dalam persidangan Puteri UMNO, beliau menempelak pandangan pihak tertentu yang mengatakan parti yang diwakilinya tidak boleh memenangi pilihan raya jika tidak bekerjasama dengan Bersatu.
“Ada puak yang menghasut supaya ada ahli menentang sesetengah keputusan parti kerana mereka mahu menolak keputusan parti seperti kerjasama Bersatu pada PRU-15.
“Jangan rasa gundah gulana dan termakan hasutan yang mengatakan UMNO akan lemah dan takkan menang PRU-15. Hasutan ini tidak boleh menerima hakikat sebenarnya kerana nafsu, mereka mahu kekalkan kepentingan peribadi demi wang, jawatan dan kemasyhuran. Ini kita tidak boleh ikut,” katanya.
Tajuddin turut memberi jaminan bahawa UMNO boleh meraih kemenangan secara bersendirian PRU-15.
“Jangan ragu dan takut jika kita bertanding bersendirian. Kita akan bertanding tidak kurang 120 kerusi Parlimen. Bersatu tidak akan bertanding lebih 50 ke 60 kerusi, Pas mungkin bertanding 30 kerusi.
“Percayalah, parti yang paling banyak menang kerusi nanti adalah UMNO, tidak ada parti lain, kita akan menang sekurang-kurangnya 70 ke 80 kerusi dan boleh bentuk kerajaan dan jadi perdana menteri,” katanya.
Pada masa sama, Tajuddin berharap Pas terus bekerjasama dengan UMNO pada PRU-15.
“Jika UMNO dan Pas bawah Muafakat Nasional (MN) membentuk kerajaan, MN akan memiliki kerusi begitu banyak sekali. Pas akan dapat lebih banyak kerusi daripada hari ini. Terpulang kepada Pas, ini pendirian parti, tapi kita mahu Pas bersama kita.
“Tetapi jika Pas lebih suka bekerjasama dengan Bersatu, itu hak mereka untuk memilih. Namun, kita berdoa mereka bersama dengan kita sebab kita sudah berjanji dengan Pas untuk bentuk kerajaan MN, jadi kita harap Pas tidak mungkir janji dan tetap bersama dalam PRU-15,” katanya. – UTUSAN ONLINE