Ada bukti lapor polis, SPRM - Wan Saiful - Utusan Malaysia

Ada bukti lapor polis, SPRM – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Ahli Parlimen PKR dicabar membuat laporan polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti ada pihak dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat tawaran kepada pemimpin PKR itu agar meninggalkan parti seterusnya menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pembangkang dilihat masih tidak habis-habis dengan budaya fitnah dan strategi memburukkan kerajaan, menimbulkan keraguan dan melontar tohmahan yang menjadi amalan mereka.

“Budaya politik fitnah ini, hentikanlah. Kalau betul ada bukti, laporkan kepada polis dan SPRM, biar disiasat sepenuhnya. Hakikatnya, PKR sedang runtuh dan ahli sendiri tak ada keyakinan kepada PKR.

“Krisis dalaman PKR amat besar dan sedang membarah. Selesaikanlah dalam parti sendiri dan jangan ubah topik dan larikan perhatian dengan cara memfitnah,” katanya hari ini.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Ahli Parlimen PKR yang mendakwa ditawar wang dan jawatan supaya lompat parti menegaskan mereka tidak akan berbuat demikian kerana mahu mempertahankan mandat rakyat yang diberi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Padang Serai, M. Karupaiya yang tidak memperincikan tawaran berkenaan dilaporkan berkata, hasrat untuk kekal bersama PKR juga adalah kerana kredibiliti kepemimpinan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum itu, Anwar dalam sidang akhbar mendakwa empat lagi ahli Parlimen PKR iaitu Karupaiya, Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini dan Ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Leong menerima pelawaan supaya memberikan sokongan kepada kerajaan PN.

Pada awal Mac lalu, Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail telah membuat laporan kepada SPRM berhubung cubaan pihak tertentu untuk mendapatkan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya