AbePizza tawar piza cita rasa Melayu - Utusan Malaysia

AbePizza tawar piza cita rasa Melayu

MOHAMAD Amirul Hakim Mohd. Sanusi kini pengusaha AbePizza di Pasir Puteh, Kelantan.-UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Gara-gara piza yang dibakar tidak menjadi, Mohamad Amirul Hakim Mohd. Sanusi terpaksa membuang lima kilogram gandum begitu sahaja setiap hari ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia berusia 25 tahun itu bagaimanapun terus berusaha sehingga berjaya menghasilkan piza yang sempurna sebelum diagihkan kepada jiran-jiran.

Dalam tempoh setahun, jerih-perih pemuda dari Kampung Alor Pasir di sini berbaloi apabila dia kini muncul sebagai pemilik restoran AbePizza dengan cita rasa Melayu namun setanding piza jenama terkenal yang ada di negara ini.

Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, pada mulanya dia hanya menghasilkan piza menggunakan alat pengadun dan empat ketuhar kecil bagi memenuhi permintaan pelanggan yang membuat tempahan secara dalam talian.

“Piza yang saya agihkan secara percuma kepada ahli keluarga dan jiran mendapat maklum balas yang memberangsangkan dan saya mula menerima tempahan daripada pelanggan.

“Apabila permintaan pelanggan semakin bertambah, saya membeli ketuhar lebih besar dengan modal RM20,000. Apa yang saya ada hari ini adalah hasil bantuan dan dorongan keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Restoran AbePizza terletak di Bandar Baru Pasir Puteh di sini dan beroperasi seawal 11 pagi sehingga 10.30 malam setiap hari.

Mohamad Amirul Hakim berkata, ketika cuba-cuba membuat piza tahun lalu, dia langsung tidak menyangka mampu membuka sebuah kedai sendiri sehingga mampu menawarkan pekerjaan kepada anak tempatan pula.

“Kejayaan ini adalah berbekalkan minat yang mendalam untuk menghasilkan piza cita rasa Melayu bersama keluarga,” katanya.

“Resipi piza yang dihasilkan akan didaftarkan sebagai harta intelek dengan jenama AbePizza. Saya juga bercadang untuk membuka kios di seluruh negara dan dalam masa terdekat, kami akan membuka sebuah lagi cawangan AbePizza di bandar Pasir Tumboh,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya