KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang duduk sepentas dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid dalam Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau dan dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengenakan baju Melayu berwarna putih dan bersampin hijau diiringi masuk bersama kepimpinan UMNO ke Dewan Merdeka WTC.
Kehadiran kedua-dua pemimpin Pas itu menarik perhatian pemerhati politik negara di saat UMNO memutuskan hubungan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Pas merupakan salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Kedua-dua pemimpin itu merupakan antara tetamu kehormat yang menghadiri Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Turut hadir Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah.
Turut bersama, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
Hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada hari ini dijangka memuktamadkan hala tuju parti itu terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ia membabitkan usuk berhubung kerjasama UMNO dengan Bersatu dalam pilihan raya umum diterima atau sebaliknya bakal ditentukan pada petang ini.