PUTRAJAYA: Kira-kira 90 peratus individu bagi fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19, setakat hari ini.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu adalah daripada 500,175 orang bagi sasaran awal penerima vaksin fasa pertama.
Beliau berkata, pada 10 Mac lalu, kerajaan sudah menambah penerima suntikan bagi fasa pertama yang membabitkan lebih ramai petugas barisan hadapan.
“Ia ditingkatkan daripada 500,175 orang kepada 647,368 penerima. Kita berharap baki penerima fasa pertama ini akan dapat suntikan masing-masing dalam tempoh dua minggu akan datang,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan PICK di sini.
Katanya, sehingga hari ini, jumlah yang mendaftar bagi PICK sudah mencecah 7,235,436 orang yang mewakili 29.83 peratus bagi populasi rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas.
Khairy berkata, seramai 580,765 orang sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin Covid-19 yang mana 451,655 orang (dos pertama) dan 129,110 (sudah lengkap dos pertama dan kedua).
“Lima negeri paling tinggi penerima vaksinasi adalah Selangor dengan 75,317 orang, Perak (59,305), Sarawak (57,034), Sabah (52,223) dan Kuala Lumpur (50,512),” katanya.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan akan memberi tumpuan pemberian vaksin kepada pekerja industri berkapasiti besar terutama yang beroperasi di kawasan zon merah sekiranya negara sudah memperoleh bekalan vaksin mencukupi.
Menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada syarikat industri yang mempunyai lebih 5,000 pekerja.
“Beberapa siri libat urus sudah dijalankan dengan pihak industri berhubung perkara itu,” katanya.
Pada masa sama Khairy berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air juga sudah menyediakan garis panduan pemberian vaksin yang mesra alam bertujuan memantau urusan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Dengan kehadiran lebih ramai orang di PPV dan penggunaan sumber yang besar, termasuklah pengendalian barang yang diperoleh, panduan ini adalah satu inisiatif untuk menjadikan pengurusan sumber lebih lestari dari sudut pengurusan sisa, guna tenaga elektrik dan sebagainya,” katanya.