Cari suami hilang lima tahun hendak sahkan perkahwinan 28 tahun di Siam - Utusan Malaysia

Cari suami hilang lima tahun hendak sahkan perkahwinan 28 tahun di Siam

Esah Saad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Seorang penerokawati dari Felda Jengka 22 di sini mencari suami keduanya warganegara Indonesia yang dikahwininya selama 28 tahun yang menghilangkan diri lebih lima tahun.

Esah Saad, 64, ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di tanah rancangan itu mengakui perkahwinan dengan jejaka negara jiran di negara Thailand belum didaftarkan di negara ini.

Katanya, perkahwinan keduanya pada 1993 ketika berusia 36 tahun selepas kematian suami pertama.

“Saya terpikat dengannya ketika itu kerana rajin membantu di ladang sawit. Perkahwinan dengan suami kedua, Fadli Munasah, 54, tidak pernah didaftarkan di negara ini walaupun usia perkawinannnya mencecahkan 28 tahun.

“Hasil  perkahwinan bersama jejaka Indonesia melahirkan dua orang zuriat lelaki dan perempuan yang kini berusia 24 dan 26 tahun,” katanya.

Menurut Esah, kehadiran suaminya itu penting untuk mengesah dan mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Agama Islam Daerah Chenor.

Beliau berkata, pendaftaran di negara ini perlu bagi memudahkan pelbagai urusan khususnya bagi tujuan perwalian perkahwinan anak perempuan mereka.

Katanya, kelewatan mendaftarkan perkahwinan di Thailand menyebabkan mereka menghadapi pelbagai masalah termasuk tohmahan masyarakat.

“Saya menyesal melambat-lambatkan mendaftar perkahwinan itu yang konon bimbang didenda tetapi akhirnya masalah itu semakin rumit.

“Suami saya mungkin telah pulang ke Indonesia tetapi pandemik Covid-19 ini mungkin tidak dapat pulang kerana sekatan sempadan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN