PETALING JAYA: Legasi politik melibatkan bapa dan anak dalam politik Malaysia bukan satu bentuk budaya nepotisme kerana pemilihan itu berlaku atas usaha dan minat pemimpin itu sendiri.
Bercakap dengan Mingguan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, keberadaan dinasti politik dalam negara ini adalah kerana kebanyakan mereka mempunyai keupayaan sendiri.
“Kita tidak boleh menganggap kesemuanya adalah budaya nepotisme kerana ada juga anak daripada pemimpin parti-parti di Malaysia ini benar-benar mempunyai keupayaan serta bergerak keluar daripada bayangan bapa mereka.
“Di negara lain, juga berlaku perkara ini dan saya melihat sebab utama anak-anak pemimpin boleh diangkat sebagai pemimpin kerana mereka mempunyai kebolehan, pendedahan serta minat yang mendalam berdasarkan pemerhatian mereka kepada ibu bapa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, dalam politik tanah air juga sudah ramai pemimpin politik mempunyai latar belakang yang bapa ataupun ahli keluarga mereka adalah pemimpin.
Nama-nama besar yang sering disebut-sebut mempunyai dinasti politik adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anaknya, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar serta Perdana Menteri Malaysia ke-3, Allahyarham Tun Abdul Razak dan anaknya Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.
Perkara ini tidak terlepas daripada berlaku di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat (AS) iaitu daripada keluarga Bush, Kennedy dan Clinton manakala di Singapura pula melibatkan legasi Lee Kuan Yew.
Sementara itu, penganalisis politik, Mazlan Ali menjelaskan perkara tersebut juga bukanlah satu bentuk mengangkat budaya kronisme.
“Perkara ini sudah berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka jadi tiada sebab untuk kita menyekat perkara ini hanya kerana beberapa dakwaan yang mengatakan ia seolah-olah memenangkan budaya kronisme.
“Sekiranya pemilihan itu berlaku secara sengaja, itu salah. Contohnya seperti pemilihan anak pemimpin untuk memegang jawatan yang besar dalam mana-mana organisasi. Berbeza dengan anaknya yang mengikut jejak menjadi pemimpin dan diterima oleh rakyat kerana kredibilitinya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE