RANTAU PANJANG: Lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita warga Thailand dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini dan Tumpat.
Ketika operasi masing-masing pada pukul 11 malam kelmarin dan 12.05 pagi semalam, PGA Batalion 9 turut menahan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat bagi membantu siasatan.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintenden Nor Azizan Yusof berkata, kesemua PATI yang ditahan berusia antara 31 hingga 39 tahun dan dalam proses untuk dihantar bekerja di sekitar Johor.
Menurutnya, ketika serbuan pertama, empat PATI dan seorang tekong berusia 32 tahun ditahan selepas anggotanya menahan kereta Proton Wira dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang.
“Hasil pemeriksaan menemukan empat PATI warga Thailand di dalam kenderaan tersebut.
“Siasatan awal mendapati kesemua wanita terbabit dibawa masuk menggunakan pangkalan haram di sekitar Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nor Azizan berkata, dalam serbuan kedua di sebuah chalet di Wakaf Bharu, Tumpat, PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun yang bertindak sebagai tekong darat.
“Dia membawa empat wanita warga Thailand yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26(a) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.