LANGKAWI: Seramai 79 penagih dadah termasuk dua wanita ditahan dalam Operasi Helang 4 oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Langkawi di sekitar pulau ini kelmarin dan semalam.
Ketua Pegawai AADK Langkawi, Mohammad Nurddin Ramli berkata, kebanyakan penagih yang ditahan itu di Bukit Malut, Taman Nilam dan Kampung Bakau Kelibang dekat Tanjung Lembong di sini.
Menurutnya, mereka yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 51 tahun manakala dua orang wanita berusia 20-an turut ditahan, namun, dibebaskan dengan jaminan atas masalah kesihatan.
Katanya, operasi tersebut melibatkan 18 orang pegawai dan 53 anggota AADK daripada daerah Baling, Sik, Kubang Pasu, dan Langkawi.
“Tiga penagih yang ditahan dalam operasi itu melanggar syarat pengawasan Seksyen 6 (2) Akta Penagih Dadah 1983.
“Selain itu, seramai 14 orang lagi dituduh di bawah Seksyen 6 (1)(a) di mana mereka perlu menjalani rawatan dan selebihnya dikesan menyalahgunakan dadah pada kali pertama,” katanya dalam sidang akhbar di Terminal Feri Kuah, di sini, hari ini.
Nurddin menambah, sebanyak 70 peratus daripada penagih yang ditahan itu dikesan menyalahgunakan heroin manakala selebihnya syabu atau kedua-duanya sekali.
“Penagih yang ditahan kali pertama akan direman selama 14 hari bermula hari ini, ” ujarnya.-UTUSAN ONLINE