PETALING JAYA: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin antara 71 pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertukar serta dinaik pangkat berkuat kuasa 12 April depan.
Superintenden Komunikasi Korporat Urus Setia KPN PDRM Bukit Aman, Superintenden Skandaguru Anandan berkata, Saiful Azly akan memegang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.
Katanya, kekosongan Saiful Azly akan diisi Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan/ Perjawatan) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Azmi Abu Kassim.
“Selain itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dinaikkan pangkat kepada Ketua Polis Selangor dengan memangku Komisioner.
“Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal pula akan memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner bagi menggantikan Datuk Fadzil Ahmat yang ke JPJKK Bukit Aman sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan Analisa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Razali Abu Samah akan memangku jawatan Senior Asisten Komisioner sebagai Timbalan Ketua Polis Melaka.
Jelasnya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Andrew Veno pula akan memegang jawatan sebagai Ketua Urus Setia/ Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.
“Pertukaran ini juga melibatkan 64 pengawai kanan yang lain di seluruh kontinjen,” katanya. – UTUSAN ONLINE