PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sudah mengenal pasti tujuh hospital untuk melaksanakan penilaian lapangan untuk kaedah pengambilan sampel air liur bagi ujian saringan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, buat masa ini, pihaknya menggunakan kaedah calitan melalui hidung dan mulut.
Katanya, ujian RT-PCR dan RTK-Ag yang menggunakan calitan hidung dan mulut dilakukan bagi mengesan jangkitan dalam populasi.
“Pihak kementerian berharap dapat laporan lengkap sebelum kita mengenengahkan kaedah menggunakan air liur untuk menjalankan ujian RTK-Ag atau RT-PCR. Ia diharapkan dapat memberi ketepatan hasil mengesan kes Covid-19.
“Tujuh hospital itu ialah Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh (Selangor), Hospital Sultanah Bahiyah (Kedah); Hospital Sultanah Nur Zahirah (Terengganu), Hospital Melaka, Hospital Tuanku Jaafar (Negeri Sembilan) dan Hospital Sultanah Aminah, Johor,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas sejauh mana perkembangan proses penilaian ujian Covid-19 menggunakan air liur. – UTUSAN ONLINE