69 pengunjung asyik berhibur terkedu diserbu polis - Utusan Malaysia

69 pengunjung asyik berhibur terkedu diserbu polis

PENGUNJUNG pusat hiburan yang ditahan ketika sedang asyik berhibur di sebuah premis di Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 69 pengunjung yang sedang asyik berhibur di sebuah premis hiburan di Jalan Persiaran Southkey 1, Kota Southkey, di sini terima padah setelah premis itu diserbu polis, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Majidee yang membuat pemeriksaan mendapati kesemua pengunjung berusia 21 hingga 51 tahun itu sedang leka berseronok sambil minum arak.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pemeriksaan yang dibuat mendapati premis hiburan tersebut telah melanggar syarat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Pemeriksaan lanjut dibuat terhadap lima lelaki tempatan, 44 lelaki warga Indonesia dan 20 wanita warga Indonesia.

“Polis telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang mengaku sebagai penjaga premis dan dia dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Manakala empat lelaki tempatan yang merupakan pengunjung di premis tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika berada di dalam premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Padzli berkata, kesemua pengunjung premis warganegara Indonesia itu pula akan dibuat semakan rekod pergerakan keluar dan masuk ke dalam negara melalui Jabatan Imigresen.

Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah pemain DVD, dua unit Flery LED, tujuh unit amplifier, lampu laser dan tiga buah pembesar suara.

“Hasil saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap kesemua individu didapati negatif dadah.

“Polis Johor ingin menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan PKPB dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat awam. Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang tidak mematuhi perintah yang ditetapkan,” ujarnya.

Kes disiasat dibawah Peraturan 16(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar syarat PKPB.

Siasatan turut dibuat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor 4/98 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya