PUTRAJAYA: Kementerian Pertahanan menyasarkan lebih 42,000 warga kerjanya akan selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 menjelang tamat fasa 1B pada 30 April depan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga pukul 5 petang hari ini, sejumlah 6,547 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah divaksin.
“Itu jumlah penerima fasa 1A dan hari ini pula, kita sudah bermula dengan fasa 1B secara besar-besaran melibatkan baki lebih 36,000 petugas Kementerian Pertahanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pada sidang akhbar di pejabatnya di ibu negara hari ini bagi menyentuh perkembangan semasa proses vaksinasi peringkat kementerian tersebut.
Bilangan selebihnya itu ujar beliau, dijangka menerima suntikan berkenaan di sejumlah 58 pusat pemberian vaksin di seluruh negara secara berperingkat sehingga akhir bulan April.
Ismail Sabri mencipta sejarah sebagai anggota menteri Kabinet pertama disuntik pada 26 Februari lalu di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Ia susulan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama meliputi petugas barisan hadapan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari lalu.
“Untuk fasa 1B, petugas Kementerian Pertahanan dari kalangan orang awam yang bukan anggota pasukan beruniform akan turut menerima suntikan vaksin tersebut,” kata beliau.
Setakat ini tambah beliau, sambutan amat baik dengan semua bersetuju untuk divaksin secara sukarela dan tiada yang menolak kerana mereka berasa amat yakin usaha kerajaan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hostel Centennial, Kampung Acheh, Manjung, Perak pada esok.
Sehingga kini, Kementerian Kesihatan sudah selesai melaksanakan 1,551 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, secara kumulatif, sebanyak 463 kes positif telah pun dilaporkan.
Malah ujarnya, baki kes aktif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan, terkawal dan tiada lagi sampel yang sedang menunggu keputusan ujian saringan daripada pihak makmal.
“Setelah dibuat penilaian risiko oleh pelbagai agensi, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD seperti yang sudah dijadualkan setelah dimulakan pada 25 Februari lepas,” katanya.
Hostel berpusat itu difahamkan mampu menampung sejumlah 2,000 penghuni dan kawasan tersebut mula beroperasi sejak 2013 dengan kos pembinaan fasiliti sebanyak RM25 juta.
Lokaliti ini mengandungi 160 unit apartmen dalam 10 buah blok kediaman setinggi empat tingkat yang menempatkan para pekerja perindustrian dari pelbagai kilang berhampiran. -UTUSAN ONLINE