PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia buat julung kalinya akan mendakwa 59 majikan di mahkamah seluruh negara mulai bulan ini kerana pelbagai kes pengabaian hak pekerja.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, mereka menjadi kumpulan pertama dituduh di bawah Akta Standard Minimum, Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
“Ia melibatkan 124 kertas siasatan dan 115 daripada jumlah itu telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum 70 kes akan dibawa untuk pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di kementeriannya di sini hari ini yang dihadiri timbalannya, Datuk Awang Hashim dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Jamil Rakon.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, semua syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 24D, 24H, 24J serta Peraturan 3 dan 4 akta itu yang dipinda pada 2019 dan dirujuk sebagai Akta 446.
Ia ujar beliau, meliputi antaranya gagal menyediakan asrama untuk pekerja berlainan jantina, selain tiada katil, tilam dan almari berkunci serta bilik air dan tandas bagi nisbah 15 pekerja.
“Setiap kesalahan itu jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 dengan kebanyakan ialah kilang pembuatan sarung tangan getah di Semenanjung,” katanya.
Beliau menambah, ia hasil pemeriksaan sejak 1 September tahun lalu sehingga 31 Januari lepas ke atas 3,452 majikan membabitkan 101,726 pekerja termasuk 90,677 warga asing.
Dalam pada itu, Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 26 Februari lalu ujar beliau, turut telah memberi kuasa tambahan bagi majikan ingkar akta 446 dengan hukuman yang lebih berat.
Sejak diwarta akhir Februari sehingga 11 Mac, lapan kertas siasatan dibuka dengan kompaun setelah kementerian itu memeriksa 17,576 tempat penginapan dan melibatkan 3,256 majikan.
“Ini membabitkan 149,634 pekerja termasuk 142,576 warga asing dan majikan yang ingkar boleh didenda sehingga RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun,” tegas Saravanan.
Bagaimanapun katanya, pihak Jabatan Tenaga Kerja sedia memberi kelonggaran dengan hanya mengeluarkan amaran kepada syarikat kecil yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Perkara itu ujarnya, banyak melibatkan agensi pelancongan tempatan yang dikenal pasti terjejas teruk dan tidak berupaya menyediakan penginapan baik kepada pekerja mereka.
Namun, beliau memberi peringatan kepada syarikat besar agar tidak mengambil kesempatan kerana kementerian akan menyemak kedudukan kewangan sebelum membuka kes siasatan.
“Saya berasa sedih kerana ada majikan besar sengaja abai hak pekerja dan ini beri kesan imej Malaysia setiap kali bermesyuarat dalam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya.
Bagi negara-negara maju, sebelum akta itu dikuatkuasakan, mereka menganggap negara ini konon mengamalkan buruh paksa dengan tidak jaga kebajikan pekerja khasnya warga asing.
Ditanya kenapa baru sekarang mula bertindak tegas, Saravanan berkata, sebelum ini Akta 446 tidak begitu dikuatkuasakan selepas diwartakan untuk memberi peluang kepada majikan.
Malah kata beliau, akta itu sebenarnya sudah pun lama wujud tetapi pada masa itu ia hanya melibatkan sektor perlombongan dan perladangan dengan keluasan tanah lapan hektar.
Justeru beliau dalam nada sinis berkata, sekiranya semua majikan bertanggungjawab dengan mematuhi akta itu, kemungkinan besar tiada kluster Covid-19 melibatkan asrama pekerja.- UTUSAN ONLINE