REMBAU: Sebanyak 585 bebuli vaksin Pfizer-BioNTech rosak yang diterima kerajaan dipulangkan semula kepada syarikat pengeluar kerana didapati berlaku perubahan suhu yang tidak diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun jumlah yang berkenaan adalah kecil berbanding dengan jumlah vaksin yang diterima negara iaitu sebanyak lebih 500,000.
Menurutnya, pemulangan vaksin rosak berkenaan perlu dibuat berikutan terdapat perubahan suhu ketika dalam penyimpanan iaitu daripada kilang di Belgium ke negara ini.
“Suhu penyimpanan itu telah meningkat daripada -70 darjah Celsius kepada suhu yang tidak boleh diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan. Bagaimanapun, pihak Pfizer- BioNTech akan menggantikan semula dos vaksin berkenaan kepada kita.
“Buat masa ini, tiada kes serius membabitkan pengambilan vaksin ini dan jika ada alahan, reaksi alegik, kebanyakan ia dapat diselesaikan dalam tempoh masa 24 jam,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Rembau, di sini, hari ini.
Sementara itu, Khairy turut meminta orang ramai termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memahami proses serta kelancaran pemberian vaksin kepada rakyat di negara ini.
Menurutnya, tidak ada keperluan untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada rakyat Malaysia memandangkan jumlah vaksin yang diterima bagi fasa pertama adalah sekitar lebih 500,000 dos vaksin sahaja.
“Buat masa ini kadar yang menerima vaksin adalah baik. Kita nak simpan dos kedua untuk mereka yang sudah terima tetapi apabila lebih banyak lagi vaksin yang sampai bermula bulan Mei dan ke atas, barulah kadar (pemberian suntikan vaksin) meningkat.
“Buat masa ini, kita hendak selesaikan semua tapi tidak ada vaksin nak buat apa…? Datuk Seri Najib tak faham, dia ingat kita boleh buat cepat tapi vaksin belum sampai lagi, lainlah kalau dia nak beli,” katanya.- UTUSAN ONLINE