PUTRAJAYA: Seramai 571,802 petugas barisan hadapan yang tersenarai dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan selesai menerima suntikan dos pertama sebelum hujung bulan ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ini bagi mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) fasa pertama dengan semua yang terlibat akan menerima suntikan pertama itu.
“Kita (kerajaan) akan menjayakan fasa pertama meliputi 571,802 petugas barisan hadapan yang sudah disenaraikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkenaan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba di sini hari ini.
Khairy berkata, pihaknya merekodkan lima daerah paling tinggi melibatkan kejayaan perjalanan program imunisasi iaitu Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuching, Kuantan dan Kota Kinabalu.
Bagi lima negeri pula katanya, Sarawak merekodkan sebanyak 22,140 diikuti Pahang, 14,473; Selangor, 12,336; Kelantan, 11,927 dan Sabah, 11,739.
“Lebih 3.6 juta daripada 3.8 juta yang mendaftar, berbuat demikian menggunakan aplikasi MySejahtera; 173,575 melalui laman sesawang www.vaksincovid.gov.my dan 863 lagi melalui talian ‘hotline’
“Bagi yang sudah mendaftar untuk fasa pertama, seramai 221,819 orang dan seramai 139,720 orang sudah menerima suntikan dos pertama,” katanya.
Tambahnya, Malaysia juga sudah menerima vaksin Covid-19 buatan Pfizer, sebanyak 86,775 melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak 520,650 dos.